MUHD Faiz Nazmi dilaporkan hilang dan gagal dihubung keluarga sejak Khamis lalu. FOTO Ihsan keluarga
MUHD Faiz Nazmi dilaporkan hilang dan gagal dihubung keluarga sejak Khamis lalu. FOTO Ihsan keluarga
Norizuan Shamsuddin


JURUTERA, Muhd Faiz Nazmi Norol Azani, 32 dipercayai hilang selepas gagal dihubungi keluarga sejak Khamis lalu.

Bapanya, Norol Azani Mohamed Noor, 55, berkata, sudah enam hari keluarga gagal menghubungi anak sulong dari enam beradik yang tinggal di Taman Seri Belimbing, Seri Kembangan, Selangor itu.

Menurutnya, kali terakhir mereka yang menetap di Kota Bharu, Kelantan berhubung dengan Muhd Faiz Nazmi pada 13 Februari lalu.

“Dia menghubungi ibunya, Rusmah Abdul Rahman, 51, memaklumkan mahu bermain futsal di Seksyen 16, Shah Alam, jam 8 malam dan ketika itu dia tidak memaklumkan sebarang perkara tidak elok berlaku.

“Bagaimanapun, sehari selepas itu saya cuba menghubungi anak tetapi gagal dan sehingga kini dia tidak dapat dihubungi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norol Azani berkata, mereka sudah berhubung dengan majikan anaknya dan dimaklumkan kali terakhir Muhd Faiz Nazmi hadir bekerja pada 11 Februari, sebelum hilang bersama kenderaan Toyota Fortuner milik syarikatnya.

“Bagaimanapun, kenderaan berkenaan tidak dilengkapi alat sistem pengesanan kedudukan global (GPS).

“Pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mencari anak saya kerana bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terhadapnya,” katanya.

Norol Azani berkata, dia bersama keluarga juga sudah ke kediaman Muhd Faiz Nazmi di Taman Seri Belimbing, semalam.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan yang bertugas memaklumkan anak sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.

“Kami terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam kediamannya tetapi tidak menemui sebarang petunjuk, sebaliknya hanya menemui beberapa dokumen peribadi miliknya,” katanya.

Katanya, susulan kehilangan itu, dia membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Kelantan, pada 6.15 petang, Ahad lalu.

“Malah, pihak majikan anak juga turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, semalam (kelmarin) bagi membantu mengesan anak kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhd Faiz Nazmi boleh menyalurkan maklumat kepada Norol Azani menerusi talian 0173112839 atau 0176473896 (Rusmah).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:44 PM