DATUK Seri Norol Azali Sulaiman (baju putih berdiri) melihat  pelaksanaan  vaksinasi  walk in bersasar di  Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
DATUK Seri Norol Azali Sulaiman (baju putih berdiri) melihat pelaksanaan vaksinasi walk in bersasar di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Bera: Empat daerah akan memulakan program vaksinasi secara terus tanpa janji temu sebagai langkah mempercepatkan sasaran imuniti kelompok di negeri ini menjelang Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, imuniti kelompok boleh dicapai apabila daerah Bera, Bentong, Lipis dan Cameron Highlands melaksanakan program vaksinasi secara walk in itu.

Katanya, usaha berkenaan adalah langkah bersepadu dan berfokus bagi mencapai imuniti kelompok pertengahan Oktober ini.

"Pahang giat berusaha mencapai kapasiti maksimum 32,000 suntikan sehari di 172 pusat pemberian vaksin ( PPV ) di negeri ini demi mencapai sasaran imuniti kelompok itu.

"Pada masa ini, pemberian vaksin dilaksanakan di PPV awam, industri, integrasi, hospital swasta, klinik kesihatan, klinik swasta dan pasukan bergerak (mobile)," katanya.

Norol Azali berkata demikian selepas memantau pelaksanaan vaksinasi secara walk in bersasar di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai itu berkata, seramai 811,588 atau 69 peratus penduduk negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 626,141 (53.3 peratus) lengkap dos kedua setakat semalam.

Menurutnya, pihaknya agak kesal kerana masih ramai penduduk belum berdaftar dengan MySejahtera dengan pelbagai alasan sekali gus menyukarkan pemberian tarikh janji temu.

"Kita sedar banyak kawasan di Pahang terletak di kawasan pedalaman dan tiada akses internet termasuk perkampungan Orang Asli hingga menyukarkan mereka mendaftar.

"Kesedaran orang ramai mendapat vaksinasi akan turut meningkat berikutan semakin banyak sektor ekonomi boleh beroperasi bagi mereka yang lengkap dua dos," katanya.

Katanya, kerajaan Pahang menyasarkan 1.2 juta orang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 21 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:00 PM