Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: "Kami tak ada duit untuk beli lampin pakai buang, jadi terpaksa guna plastik selama empat hari bagi mengelakkan air kencing anak membasahi tilam," kata Mohd Khalil Sallehuddin, 38.

Mohd Khalil berkata, dia hilang sumber pendapatan sebagai tukang masak apabila kedai makan berdekatan rumahnya ditutup sejak tiga minggu lalu.

Katanya, dia dan isterinya, Yeti Nasem, 41, tiada pilihan kerana berjimat lampin pakai buang untuk bayi perempuan mereka, Aisyah Naura Arumi, tiga bulan, malah terpaksa menggunakan lampin sama berulang-kali.

"Sejak tempat kerja (kedai makan) tidak beroperasi, kami hanya bergantung kepada makanan yang ada sahaja termasuk makan mi segera dan nasi berlauk cendawan kering.

"Apa yang meruntun hati, lampin pakai buang anak hanya tinggal beberapa helai. Saya dan isteri terpaksa menggunakan plastik bagi mengelak kebocoran," katanya.

Mohd Khalil berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang di rumahnya di Kampung Bukit Belimbing, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khalil berkata, dia terdetik untuk meminta bantuan daripada Chee Heng selepas melihat laman sosial Facebook aktivis masyarakat itu, semalam.

"Saya menghantar mesej WhatsApp kepada beliau dan memaklumkan masalah yang dihadapi selain meminta sumbangan kecil seperti lampin pakai buang dan makanan asas.

"Apabila beliau cakap mahu memuat naik kisah saya di Facebook miliknya, saya jadi segan pada mulanya. Tak sangka ia tular hingga menjadi perhatian netizen yang prihatin dengan nasib bayi kami," katanya.

Mohd Khalil berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan tidak putus-putus selain berharap kehidupan mereka lebih baik di masa akan datang.

Katanya, dia yang belum mendapat mencari pekerjaan baru bimbang dengan keadaan isteri dan anak selain tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak.

Sementara itu, Chee Heng berkata, pihaknya memberi sumbangan sebuah motosikal, wang tunai dan barangan keperluan harian untuk meringankan beban Mohd Khalil sekeluarga.

"Selepas memuat naik kisah pasangan itu di Facebook, kami menerima banyak sumbangan daripada orang ramai merangkumi semua bangsa.

"Malah, saya berharap motosikal yang diberikan akan digunakan untuk mencari pekerjaan dan pada masa sama memulakan kehidupan baharu," katanya.

KUAN Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada sepasang suami isteri, Mohd Khalil dan Yeti Nasem dan anak mereka, Aisyah Naura Arumi yang tular memakai lampin plastik ketika temui di rumah mereka, Lorong Tok Empat Majid, Kampung Bukit Belimbing. FOTO Muhd Asyraf Sawal
KUAN Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada sepasang suami isteri, Mohd Khalil dan Yeti Nasem dan anak mereka, Aisyah Naura Arumi yang tular memakai lampin plastik ketika temui di rumah mereka, Lorong Tok Empat Majid, Kampung Bukit Belimbing. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:09 PM