PBAPP
PBAPP
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan kapasiti efektif Empangan Air Itam yang merekodkan kadar 30.3 peratus pada ketika ini tidak bermaksud ia hanya mencukupi untuk bekalan selama 30 hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir K Pathmanathan, tidak menafikan ia adalah rendah namun PBAPP masih aktif mempertahankan simpanan air yang ada menerusi Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

"Sebelum ini, purata pelepasan biasa ialah 44 JLH dan kawalan semasa cuaca kering ialah 22 juta liter sehari dengan PBAPP mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam untuk mengganti kekurangan 33 JLH dalam pelepasan harian dari empangan itu.

"Menerusi pelaksanaan AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan purata pengeluaran air mentah hariannya dengan pelepasan 11 juta liter sehari (JLH) dari Empangan Air Itam sejak Februari lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pathmanathan memaklumkan, sepanjang tempoh pelaksanaan AIDAP 2024 selama 70 hari kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun sebanyak 2.5 peratus dalam tempoh 70 hari atau purata 0.036 peratus sehari dalam situasi Pulau Pinang menyambut dua musim perayaan utama ketika cuaca panas dan kering.

"Terdapat spekulasi bahawa 30.3 peratus kapasiti efektif di Empangan Air Itam bermakna 30 hari bekalan air di Air Itam.

"Anggaran ini mengelirukan kerana terdapat kelayakan penting (untuk tempoh masa tersebut) iaitu 'tanpa hujan'. Apabila ada hujan di Kawasan Tadahan Air Itam bilangan hari akan berubah," katanya.

Beliau berpandangan, keputusan AIDAP 2024 dalam tempoh 70 hari yang lalu harus meyakinkan pengguna air di Air Itam bahawa kapasiti efektif empangan 30.3 peratus bukanlah penyebab panik.

Meskipun begitu, beliau mengulangi gesaan supaya menjimatkan penggunaan air sebanyak 10 peratus terutama pada bulan April, Mei dan Jun ini bagi memastikan bekalan air mencukupi di negeri itu.

"PBAPP turut mempunyai pilihan mengetatkan lagi kawalan bekalan air untuk mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa lebih lama.

"Bagaimanapun pelaksanaan kawalan (yang lebih ketat itu) boleh menyebabkan beberapa kesulitan kepada sesetengah pengguna di kawasan perkhidmatan Air Itam," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan bekalan air masih normal di kawasan perkhidmatan Air Itam meskipun pihaknya tidak mengetahui berapa lama lagi musim panas dan kering pada ketika ini akan berakhir.

"Menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan daripada fenomena El Nino panas dan kering kepada fenomena La Nina basah dan hujan tidak lama lagi.

"MetMalaysia meramalkan taburan hujan yang lebih tinggi di Pulau Pinang pada jangka masa April hingga Julai 2024, dengan ketibaan musim peralihan monsun," katanya.

Ahad lalu, media melaporkan paras Empangan Air Itam di sini hampir mencapai tahap kritikal ketiga dengan kapasiti efektif 30.8 peratus yang dijangka dapat bertahan selama 30 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 12:16 PM