NGO membuat laporan di IPD Dang Wangi. FOTO  Hafidzul Hilmi Mohd Noor
NGO membuat laporan di IPD Dang Wangi. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook (FB) yang memuatnaik gambar menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan individu itu boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara ini.

“Individu itu memuat naik gambar kartun di FB.

“Lelaki dewasa itu ditulis dengan perkataan Muhammad dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Susulan itu, pihaknya mewakili NGO yang lain antaranya Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC) membuat laporan polis berhubung kejadian.

Laporan dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami mahu siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik akaun FB yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Penghinaan yang dibuat kali ini terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri amat keterlaluan dan sangat melampau,” katanya.

Sementara itu, Presiden MJMM, Abdul Rani Kulop Abdullah berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ketegangan antara agama.

“Gejala ini perlu ditangani segera agar tidak berleluasa selain mengelak timbul sikap kebencian sesama kaum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:46 PM