AMIR (dua dari kanan) bersama wakil NGO menunjukkan laporan polis dibuat berkaitan Jalur Gemilang di IPD Dang Wangi.
AMIR (dua dari kanan) bersama wakil NGO menunjukkan laporan polis dibuat berkaitan Jalur Gemilang di IPD Dang Wangi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak menghormati panji negara ini.

“Siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan sama ada mempunyai motif atau sebaliknya. Kita sudah merdeka selama 62 tahun, namun bendera masih lagi silap?

“Jika dilihat ia seolah-olah disengajakan dan mahu pihak berkuasa menyiasat sepenuhnya perkara ini,” katanya.

Susulan itu, pihaknya mewakili NGO lain antaranya Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC) membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Laporan dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Presiden MJMM, Abdul Rani Kulop Abdullah berkata, penghinaan terhadap bendera adalah sama seperti menghina Sultan dan Raja Melayu.

“Jatuh bendera kita maka jatuhlah negara, bendera adalah panji kekuatan negara kita, jika kesilapan terhadap bendera dibuat maka ia tidak menghormati perjuangan terdahulu.

“Tindakan tegas perlu diambil...kalau asyik buat salah selepas itu minta maaf perkara ini akan terus berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 2:08 PM