Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Berang tidak diberi rokok, seorang penagih dadah bertindak membakar rumah pusaka dua tingkat didiami keluarganya di Pokok Sena di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 9 malam selepas lelaki berusia 47 tahun itu mengamuk apabila adiknya enggan memberi rokok diminta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, ketika suspek mengamuk, adik lelakinya ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan.

"Ketika dalam perjalanan, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan rumahnya terbakar.

"Jiran yang tinggal berdekatan memberitahu suspek telah membakar rumah itu dan berjaya menangkap suspek.

"Rumah itu didiami suspek, ibu dan adik suspek, namun ketika kejadian ibu suspek tiada di rumah kerana melawat anak perempuannya di Balik Pulau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan rumah separa kekal terbabit dan empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

"Rumah jiran berhampiran turut terbakar di bahagian dapur," katanya.

Mohd Asri berkata, dalam soal siasat awal, suspek mengaku membakar langsir menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sebelum api marak ke seluruh rumah.

"Hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah dan dia turut mempunyai 14 rekod kesalahan lampau," katanya yang memberitahu suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 6:44 PM