GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang pesawah ditahan polis selepas mengugut mahu membunuh dua adik perempuannya di hadapan sebuah rumah di Kampung Lembah Raja Pinang Tunggal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, dua adik perempuan suspek terkejut apabila didatangi abangnya berusia 37 tahun yang tiba-tiba mengamuk dengan memegang sebatang besi sepanjang 122 sentimeter.

Suspek bertindak mengetuk dinding dan menendang pintu rumah dengan mengugut dua adik perempuannya supaya keluar kerana mahu membunuh mangsa dengan mendakwa mereka kelihatan seperti 'jin'.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa yang ketakutan kemudian menyelamatkan diri dengan keluar di pintu belakang sebelum menghubungi polis.

"Polis berjaya ditahan pada jam 8.30 malam. Besi yang digunakan suspek dalam kejadian itu turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan ke atas mangsa memaklumkan bahawa mereka berdua ternampak suspek bercakap seorang diri di tepi jalan berdekatan rumah.

"Mereka berdua tidak menghiraukan suspek kerana sejak dua ke tiga minggu lalu suspek selalu berkelakuan sedemikian kerana masalah dadah.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba suspek datang ke arah mereka berdua dengan memegang besi panjang sebelum kedua-duanya melarikan diri ke dalam rumah dan mengunci pintu dari dalam, namun disebabkan ketakutan mereka keluar melalui pintu belakang seterusnya menghubungi polis," katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang mempunyai tiga rekod lampau positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 12:21 PM