Muhaamad Hafis Nawawi


PANIK kerana tidak memakai topi keledar dan memiliki lesen memandu menyebabkan seorang lelaki yang menunggang motosikal bertindak memecut laju bagi mengelakkan ditahan polis, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kilometer 6.5 Lebuhraya Utara-Selatan di Bukit Kayu Hitam melihat suspek sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, bagaimanapun suspek memecut laju menyebabkan anggota polis mengejarnya sehingga ke simpang lampu isyarat kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam sebelum dia terjatuh dan ditahan.

Menurutnya, seorang anggota polis turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Jitra sebagai pesakit luar selepas terbabas ke bahu jalan ketika menahan suspek.

“Motosikal suspek dirampas dan dia dibawa ke Balai Polis Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek tidak mengalami kecederaan dan dia bertindak sedemikian kerana tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar,” katanya.

Mohd Ismail berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:01 AM