GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Iskandar Shah Mohamed


LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) memberi jaminan bekalan air di tujuh empangan di negeri ini berada dalam terkawal dan mencukupi walaupun cuaca panas dijangka berterusan sehingga hujung Mac depan.

Ia membabitkan Empangan Tasik Subang; Empangan Semenyih; Empangan Langat; Empangan Klang Gates; Empangan Batu, Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi.

Selain semua empangan itu, bekalan air di Kolam Takungan Sungai Labu juga masih terkawal.

Pengarah LUAS, Datuk Ir Hashim Osman berkata, pemerhatian pihaknya mendapati paras air di tujuh empangan itu ketika ini berada dalam keadaan memuaskan iaitu melebihi 90 peratus.

“Sehingga jam 8 pagi tadi, paras air di Empangan Semenyih mencatatkan paras bacaan 99.82 peratus diikuti Empangan Tasik Subang (98.23); Empangan Sungai Tinggi (97.93); Empangan Sungai Selangor (97.37) dan Empangan Langat (97.09).

“Dua lagi empangan iaitu Empangan Batu pula berada pada bacaan 95.02 peratus dan Empangan Klang Gates (92.24).

“Sementara, Kolam Takungan Sungai Labu pula mencatatkan bacaan 98.86 peratus,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, LUAS turut akan melaksanakan beberapa tindakan alternatif sekiranya keadaan cuaca panas berterusan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Langkah itu antaranya dengan mengaktifkan rumah pam supaya dapat mengalirkan air dari sungai dan kolam takungan secara terus ke empangan.

“Kita juga akan melakukan pembenihan awan sekiranya paras empangan menyusut sehingga paras bawah 60 peratus,” katanya.

Hashim berkata, paras semua empangan itu dijangka mungkin hanya menyusut sehingga 80 peratus walaupun cuaca panas berterusan dan kekurangan taburan hujan.

“Kita yakin paras itu masih mampu menampung jumlah permintaan bekalan air iaitu sekitar 4,800 juta liter sehari (JLH),” katanya.

Media hari ini melaporkan fenomena cuaca panas melanda seluruh negara ketika ini tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan jajaran planet di dalam sistem solar yang kononnya semakin hampir antara satu sama lain.

Pakar astronomi, Shahrin Ahmad dipetik berkata sebarang perubahan di langit seperti berlaku pengumpulan planet yang didakwa punca menyebabkan fenomena itu adalah tidak benar dan ia berikutan hasil tiupan arah angin termasuk pengaruh perubahan monsun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menerusi satu kenyataan menjelaskan cuaca panas berlaku disebabkan oleh fasa Monsun Barat Daya yang mendominasi keadaan cuaca negara.

Laman web Met Malaysia menunjukkan suhu maksimum yang dicatatkan adalah 35 darjah celsius (C) bagi kawasan kering dan panas manakala suhu minimum adalah 24 C untuk kawasan tanah tinggi.

Kenyataan itu menjelaskan keadaan panas berkenaan akan berlarutan hingga pertengahan September dan sepanjang tempoh berkenaan keadaan cuaca adalah panas serta kering.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 2:57 PM