Kuala Lumpur: Purata suhu di kawasan utara Semenanjung dijangka mencecah sekitar 36 hingga 38 darjah celsius sepanjang minggu ini iaitu lebih panas berbanding purata suhu di kawasan lain yang dijangka mencecah sekitar 34 hingga 36 darjah celsius.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Malaysia ((MetMalaysia) Alui Bahari berkata, purata suhu itu dilihat tidak banyak berbeza daripada apa yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu dan cuaca masih dianggap normal.

Katanya, cuaca panas ketika ini akan berpanjangan sehingga penghujung Mac ini dan keadaan ribut petir pada sebelah petang akan bermula bulan depan.

“Memang setiap tahun cuaca akan panas pada setiap Mac dan kita jangkakan kawasan utara lebih panas iaitu di Perlis, Kedah dan Perak di mana purata suhu dijangka mencecah sekitar 36 hingga 38 darjah celsius.

“Selain daripada tiga negeri itu, purata suhu dijangka mencecah sekitar 34 hingga 36 darjah celsius. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, keadaan agak sama namun taburan hujan pada tahun ini lebih banyak berbanding tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Sementara itu, menurut laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sehingga jam 5 petang semalam, Empangan Sungai Selangor mempunyai baki simpanan takungan sebanyak 77.15 peratus.

Empangan itu berupaya menampung isi padu semasa berjumlah 211.40 juta meter padu namun semalam ia menyusut 33.95 juta meter padu.

Empangan Sungai Selangor membekalkan kira-kira 60 peratus air terawat kepada lebih 50,000 akaun pengguna di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Selain Empangan Sungai Selangor, tujuh lagi empangan di bawah pengurusan LUAS iaitu Empangan Batu, Langat, Semenyih, Klang Gates, Sungai Tinggi, Tasik Subang dan sebuah kolam takungan air di Sungai Labu, Sepang.

Empangan Batu mempunyai baki simpanan takungan sebanyak 90.62 peratus, Langat (96.35), Semenyih (95.72), Klang Gates (88.24), Sungai Tinggi (69.39), Tasik Subang (98.03) dan Sungai Labu (74.06).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:46 AM