ADLY (tengah) pada sidang media lawatan sempena Tahun Baru Cina di Rumah Pangsa Jalan Tengkera. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
ADLY (tengah) pada sidang media lawatan sempena Tahun Baru Cina di Rumah Pangsa Jalan Tengkera. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
Amir Mamat


KERAJAAN negeri Melaka dijangka mengumumkan catuan bekalan air secara berjadual, esok susulan paras air di empangan utama mengalami pengurangan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, langkah terbabit terpaksa dibuat sebagai satu daripada usaha menjimatkan penggunaan air selain memastikan empangan serta kolam takungan kehabisan air.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan mengenainya akan diputuskan menerusi Mesyuarat Mingguan EXCO, esok selepas pihaknya menerima perkembangan terkini paras air daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA).

“Kami akan dapatkan perkembangan terkini esok dan esok akan diputuskan sama ada perlu dibuat catuan air berjadual atau sebaliknya,” katanya selepas menghadiri perasmian Kolej Al-Quran Sayyidina Ali di Bukit Katil di Melaka, hari ini.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Baru-baru ini, Adly dilaporkan berkata, Melaka akan mengambil pendekatan terbaik untuk melindungi keperluan rakyat bagi berdepan isu air susulan cuaca panas berpanjangan yang dijangka berterusan hingga April depan.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi jaminan tiada catuan bekalan air akan dilakukan buat masa ini walaupun langkah itu sudah dimulakan di beberapa negeri susulan penyusutan paras air di empangan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri terus menitikberatkan soal kesedaran penjimatan penggunaan air memandangkan keadaan cuaca panas dijangka berterusan hingga bulan April.

Akhir tahun lalu, Melaka terpaksa melakukan catuan bekalan air berjadual berikutan keadaan air di tiga empangan di negeri berkenaan menyusut.

Cuaca panas dan kering menjadi antara faktor kepada penyusutan air berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 3:21 PM