Jenazah enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, 3 Oktober lalu. Foto SADDAM YUSOFF
Jenazah enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, 3 Oktober lalu. Foto SADDAM YUSOFF
Siti A’isyah Sukaimi


LAPORAN siasatan jawatankuasa insiden membabitkan kematian enam anggota bomba di lombong Taman Putra Perdana, Puchong akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Februari ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya memaklumkan, sesi pembentangan serta penyerahan laporan itu kepada Menterinya, Zuraida Kamaruddin berhubung insiden berkenaan diadakan, petang semalam.

“Hasil laporan siasatan dan tindakan penambahbaikan akan diumumkan selepas jawatankuasa siasatan ini melaporkan hasil laporan mereka secara rasmi kepada menteri di Kabinet nanti.

“Sesi Gerak Kerja Jawatankuasa Siasatan Kematian Enam Orang Anggota Bomba terbabit sudah dilaksanakan selama 21 hari sepanjang tempoh 26 November hingga 14 Januari lalu bagi menyiapkan laporan insiden ini,” katanya, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 3 Oktober tahun lalu, enam anggota bomba lemas ketika operasi cari dan selamat seorang remaja, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, yang hilang di lombong terbiar di Taman Putra Perdana, Puchong.

Anggota bomba berkenaan membabitkan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam.

Pada 16 November lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya sebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar kejadian dan seterusnya mencadangkan langkah penambahbaikan supaya insiden sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 7:09 PM