JENAZAH enam anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat diberi penghormatan terakhir selepas solat jenazah di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, kelmarin. FOTO Faiz Anuar
JENAZAH enam anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat diberi penghormatan terakhir selepas solat jenazah di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, kelmarin. FOTO Faiz Anuar
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) yang lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu lalu.

Sumber berkata, perincian siasatan itu akan dilakukan oleh jawatankuasa siasatan yang wujudkan di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM.

Menurutnya, anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar kementerian; penasihat undang-undang kementerian; Jabatan Kerajaaan Tempatan (JKT); wakil badan profesional dan pegawai bomba.

"Siasatan akan membabitkaan pelbagai aspek termasuk praktikal, keanggotaan dan aset yang digunakan pada misi menyelamat pada hari insiden," katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, katanya, setiap anggota bomba dan penyelamat termasuk daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Pelabuhan Klang dan Shah Alam yang terbabit dalam misi menyelamat itu diarahkan supaya 'menutup mulut' kerana dibimbangi menjejaskan siasatan.

Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan setiap kenyataan tidak bercanggah dengan siasatan yang sedang berjalan.

"Buat masa ini, segala kenyataan yang dikeluarkan berhubung insiden itu dibuat berdasarkan siasatan awal dan bukannya siasatan penuh.

"Sebaik siap, laporan penuh atau laporan eksekutif insiden itu akan diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin sebelum boleh didedahkan kepada pihak media dan orang awam.

"Kami ingin memaklumkan bahawa setakat ini, siasatan masih berjalan. Malah, kesemua saksi kejadian termasuk anggota bomba dan penyelamat akan dipanggil oleh jawatankuasa mulai Isnin ini bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, enam anggota PPDA JBPM lemas ketika cuba menyelamatkan seorang remaja lelaki, Mohammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang terjatuh ke dalam lombong berkenaan.

Anggota PPDA yang maut dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 3:05 PM