Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PEMBERI pinjam wang tanpa lesen diberkas polis di sebuah rumah di Rasah, Seremban pada Isnin lalu selepas dia kerap mengugut penyelia sebuah kolej swasta di Mantin, Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek berusia 34 tahun sering mengganggu mangsa berusia 28 tahun di rumah dan tempat kerjanya.

Katanya, mangsa yang berada di Mantin pada 20 Januari lalu dihubungi ibu mentuanya mengatakan beberapa lelaki datang ke rumah mereka di Labu bertanyakan mengenai pinjaman dibuatnya.

“Mangsa difahamkan meminjam RM14,000 pada 2015 dan sudah membayar RM40,000 serta faedah. Bagaimanapun suspek masih meminta lelaki itu membuat bayaran,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, mangsa juga dikatakan menjadi penjamin kepada rakannya iaitu pasangan suami isteri yang sudah melarikan diri.

“Sehubungan itu suspek meminta mangsa membayar RM120,000 termasuk kereta miliknya diserahkan kepada mereka sebagai cagaran.

“Apa yang merunsingkan mangsa ialah lelaki itu sering datang ke tempat kerja dan rumahnya untuk mengugut,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya menjalankan Op Vulture dan menahan suspek di rumahnya di Rasah jam 12 tengah hari, Isnin lalu.

Katanya, lelaki itu direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Seremban pada Isnin ini dan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 9:48 AM