Suhaila Shahrul Annuar


PEMATUHAN Pelabelan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) akan dikuatkuasakan secara mandatori bermula 1 Mac tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan kepada semua syarikat automotif yang ingin memasarkan kenderaan mereka di negara ini.

Beliau berkata, di bawah program itu syarikat pembuat kenderaan perlu memenuhi Garis Panduan Pematuhan Pelabelan ASEAN NCAP yang akan memberi nilai tambah dari segi keselamatan sesebuah kenderaan.

Katanya, penilaian ASEAN NCAP bertujuan memberi maklumat kepada pengguna mengenai tahap kebolehtahanan perlanggaran sesuatu kenderaan penumpang apabila berlaku perlanggaran.

Beliau berkata, ia juga memberi maklumat kepada pengguna mengenai ciri keselamatan aktif yang dilengkapkan kepada sesebuah kenderaan yang boleh mengelak berlakunya kemalangan atau mengurangkan tahap kecederaan dialami apabila berlaku perlanggaran.

“Program penilaian terhadap tahap keselamatan sesuatu model kenderaan yang mana ia diuji secara fizikal pada kelajuan tertentu dan berdasarkan penilaian itu, kenderaan akan diberi penarafan keselamatan.

“Untuk permulaan, bermula 1 Mac tahun ini, pelabelan ASEAN NCAP ini akan berjalan secara sukarela. Ini bermaksud, syarikat pembuat kenderaan digalakkan mempamerkan ‘rating’ mengikut ‘bintang’ yang diberikan oleh pihak pengendali ujian pelanggaran.

“Ujian ini akan menentukan kereta yang memasuki pasaran mempunyai ‘rating’ beberapa ‘bintang’ untuk mewakili ciri keselamatan yang selamat bagi kenderaan itu membabitkan tiga kategori iaitu tiga bintang (skor 50-65 peratus), empat bintang (skor 65-75 peratus) dan lima bintang (75-100 peratus),” katanya selepas melancarkan Garis Panduan Pematuhan Pelabelan ASEAN NCAP di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjelaskan disebabkan ketika ini ASEAN NCAP bukan mandatori dan bersifat sukarela, jadi tidak semua model atau varians kenderaan di pasaran mempunyai label ASEAN NCAP.

SAIFUDDIN Nasution (tengah) menunjukkan pelekat penarafan bintang. Turut bersama timbalannya, Chong Chieng Jen. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
SAIFUDDIN Nasution (tengah) menunjukkan pelekat penarafan bintang. Turut bersama timbalannya, Chong Chieng Jen. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

“Bagaimanapun, jika label ASEAN NCAP ada pada kenderaan pengeluar dengan bintang tertentu, ia akan memberi nilai tambah kepada mereka untuk menarik minat pembeli kerana mempunyai ciri keselamatan yang diiktiraf, mengandungi maklumat mengenai spesifikasi kenderaan dan kod QR,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai punca kuasa perundangan iaitu Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dalam menguatkuasakan garis panduan ini yang mana pengeluar melalui wakil jualan hendaklah mempamerkan pelekat pada cermin hadapan dan cermin tepi kenderaan di mana-mana pusat jualan atau pameran kereta.

“Pelekat label kenderaan hanya boleh dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) selepas didaftarkan kelulusannya oleh Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP.

“Kenderaan yang tidak melalui ujian perlanggaran oleh ASEAN NCAP, wakil jualan kenderaan berkenaan juga diminta menampalkan pelekat label ASEAN NCAP pada cermin depan dan tepi kenderaan tetapi keputusan taraf bintang tidak dicatatkan apa-apa kerana kenderaan mereka tidak melalui ujian perlanggaran ASEAN NCAP.

“Mana-mana pengeluar atau wakil jualan yang tidak mendapat kelulusan ujian perlanggaran ASEAN NCAP, sekiranya mereka melekatkan pada kenderaan untuk dijual dengan pengesahan label yang tidak diluluskan oleh ASEAN NCAP mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000.00 bagi orang persendirian atau RM250,000.00 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 2:10 PM