LAPAN Orang Asli termasuk seorang anggota tentera berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, enam tahun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
LAPAN Orang Asli termasuk seorang anggota tentera berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, enam tahun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


LAPAN Orang Asli termasuk seorang anggota tentera berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, enam tahun lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Sarjan Hanny Itam, 34; Norazizan Awang, 34; Lemay Uda Jamil, 34; Laies PA Engah, 36; Ramlan Dollah, 24; Jassiva Pandak, 29; Azwan Alim, 28; dan Irwan Ngah, 27, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama dituduh menyebabkan kematian Mohd Azrin Mohd Arif berusia 36 tahun ketika kejadian di Kampung Chenderung Kelubi, Tanjung Tualang, antara 12 pagi hingga 3.30 pagi, 5 April 2013.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Naidatul Athirah Azman, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Julie Lack kemudiannya menasihatkan kesemua tertuduh untuk melantik peguam kerana tuduhan dihadapi berat dan sekiranya tidak mampu boleh berhubung dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mendapatkan bantuan.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap kesemua mereka dan kes akan disebut semula 11 Mac ini.

Harian Metro pada 5 Februari lalu melaporkan, tujuh suspek ditahan antara 29 Januari hingga 2 Februari lalu, di sekitar Kampung Gajah dan Tanjung Tualang manakala anggota tentera berpangkat Sarjan ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Perlis pada 5.30 petang, 4 Februari lalu.

Pada 9 April 2013, ibu bapa Mohd Azrin membuat pengecaman di Hospital Changkat Melintang dan mengesahkan mayat berkenaan adalah anak mereka selepas ia ditemui di lombong berkenaan oleh empat lelaki yang sedang menjala.

Difahamkan bapa mangsa mengesyaki anaknya itu dibunuh pada 5 April 2013 selepas panggilan telefon pada malam kejadian sebaik mangsa keluar dari rumah tidak berjawab.

Berita berkaitan:

Suspek kes bunuh ditahan akhirnya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:16 PM