Omar Ahmad


PEGAWAI tentera berpangkat Mejar antara enam penguatkuasa yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas kesalahan membantu ahli kumpulan jenayah terancang, tiga tahun lalu.

Turut didakwa di Mahkamah sama, anggota tentera berpangkat sarjan dan empat anggota berpangkat Lans Koperal dan Koperal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh, Zaifol Abdul Hamid, 43 ; Mohammad Riduan Razali, 35 ; Saddam Hussen Ismail, 29; Hong Tiong Khim, 24; Muhamad Safuan Taharin, 29 dan Mohd. Ariff Mustafa, 54, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Zahilah Mohammad Yusoff dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan membantu ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Otong' dari tempoh 28 September 2017 hingga April 2020.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam daerah Kota Tinggi.

TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO Zain Ahmed
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO Zain Ahmed

Enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani dan Rohaiza Abd Rahman.

Kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing iaitu Lydiana Mansor mewakili Saddam Hussen dan Tiong Khim; Ahmad Yusri Ahmad Fuad mewakili Muhamad Safuan dan Zaifol; Farid Aziz mewakili Mohammad Riduan dan Jefri Jaafar mewakili Mohd Ariff.

Hakim menetapkan tiada jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh dan 15 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.

Pada 2 Julai lalu, 51 anggota 'Geng Otong' didakwa di mahkamah sana, atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yangmendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), antara 2015 hingga tahun ini.

Berita berkaitan:

  • Geng Otong seludup Pati didakwa [METROTV]
  • Geng Otong, Geng Halim, Geng Husen Maungdaw terkubur [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 4:16 PM