ANTARA tujuh daripada anggota dan dua pegawai polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM10,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. Muhammad Mikail Ong
ANTARA tujuh daripada anggota dan dua pegawai polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM10,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. Muhammad Mikail Ong
Shamsul Munir Safini


Butterworth: Tujuh anggota termasuk dua pegawai polis mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menawar dan menerima suapan berjumlah RM14,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini, semalam.

Tertuduh yang juga pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor serta lima anggota polis berkenaan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Julie Lack Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, keenam-enam tertuduh tiga daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan tiga daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Seberang Perai Selatan (SPS) itu pada 13 Januari 2015 didakwa meminta RM10,000 daripada pengadu untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki memiliki dadah yang membawa kepada kesalahan di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952.

Sementara bagi pertuduhan kedua, keenam-enam tertuduh pada tarikh yang sama menerima suapan berjumlah RM4,000 daripada pengadu untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki memiliki dadah berkenaan.

Bagi pertuduhan ketiga, pada 17 Januari 2015 enam tertuduh berkenaan bersama seorang lagi tertuduh juga anggota polis mengaku tidak bersalah menerima suapan RM3,000 untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki memiliki dadah yang membawa kepada kesalahan di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin ke atas dua pegawai berkenaan yang juga tertuduh pertama dan kedua.

Bagi lima lagi tertuduh mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 7 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 11:29 AM