Mohd Hafizee Mohd Arop


DATUK berusia 71 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan mencabul dan merogol dua cucunya pada Jun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Punjabi di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan cucunya berusia enam tahun yang mana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Ipoh antara 7 malam hingga 7 pagi pada 3 hingga 6 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi cucu perempuannya berusia lima tahun dengan memasukkan jari ke dalam lubang dubur di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dihukum dengan sebat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Sukhdev Singh.

Naidatul Athirah kemudiannya memohon mahkamah supaya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kedua-dua mangsa adalah cucu kepada tertuduh sebelum Sukhdev merayu supaya jaminan diberikan atas alasan faktor kesihatan dan kedua-dua kanak-kanak itu tidak tinggal bersama tertuduh.

Julie Lack kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak menghubungi mangsa dalam apa juga keadaan.

Kes akan disebut semula 13 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:26 AM
DATUK berusia 71 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan mencabul dan merogol dua cucunya antara 3 hingga 6 Jun lalu. Foto NSTP/L. MANIMARAN
DATUK berusia 71 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan mencabul dan merogol dua cucunya antara 3 hingga 6 Jun lalu. Foto NSTP/L. MANIMARAN