GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


TAWAR main kutu barangan elektrik dan barang kemas, namun songlap duit pemain. Itu taktik seorang wanita berusia 30 tahun yang kononnya memainkan peranan sebagai penganjur kutu, sejak tahun lalu.

Menurut seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 32, dia mengenali ‘ibu kutu’ terbabit menerusi Facebook pada Ogos tahun lalu.

Katanya, dia yang tertarik dengan tawaran bulanan dipromosi wanita berkenaan pada status dimuat naik di Facebook itu membuat keputusan untuk bermain kutu bagi mesin pengadun kek, bermula bulan Oktober tahun lalu.

“Saya mula memasukkan wang ke dalam akaunnya secara bulanan sebanyak RM110 sejak Oktober tahun lalu bagi mendapatkan mesin pengadun kek itu yang berharga RM600.

“Berdasarkan giliran, saya sepatutnya mendapat mesin itu pada Disember tahun lalu, namun wanita berkenaan memaklumkan barangan terbabit kehabisan stok.

“Saya yang tidak mengesyaki sesuatu yang buruk terus memasukkan wang kutu secara bulanan berjumlah RM440 ke dalam akaunnya hingga Januari lalu sebelum wanita itu menghilangkan diri apabila tidak dapat dihubungi sehingga kini,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Fatimah berkata, tindakan wanita itu menghilangkan diri menyebabkan dia merasa tertipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor, semalam.

“Saya juga membuat keputusan untuk memuat naik status mengenai penipuan itu di Facebook, semalam. Saya tidak menyangka status saya itu menyebabkan kira-kira 10 individu tampil yang memaklumkan mereka turut ditipu wanita berkenaan.

“Ada di antara mangsa lain memaklumkan kerugian kira-kira RM700 apabila bermain kutu bagi dua barangan elektrik dengan wanita berkenaan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Katanya, akibat status itu yang tular sejak petang semalam, suami wanita berkenaan ada menghubungi bagi mengarahkannya menarik balik status terbabit.

“Lelaki yang memperkenalkan sebagai suami wanita itu menghubungi saya untuk mengarahkan saya menarik balik status berkenaan, namun saya enggan berbuat demikian.

“Saya kemudian meminta untuk bercakap dengan isterinya tetapi dia tidak membenarkan isterinya bercakap. Malah dia mengugut akan memukul saya sekiranya saya tidak menarik balik status berkenaan di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 1:23 PM