KEK tapak kuda Auni Aufiyah kini terjual 2,100 sehari menggunakan ramuan sendiri.
KEK tapak kuda Auni Aufiyah kini terjual 2,100 sehari menggunakan ramuan sendiri.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Wanita ini pernah dicemuh ketika berjinak-jinak menjadi usahawan dan ada yang mempertikaikan keuntungan daripada perniagaan kecil diusahakannya empat tahun lalu.

Lebih membuatkan dia terasa hati apabila ada segelintir pihak mempersoalkan tindakan pekerja memilih untuk bekerja dengannya kerana mengganggap pekerjaan itu tiada masa depan.

Cemuhan ini tidak membuatkan Auni Aufiyah See Abdullah, 26, 'tunduk,' sebaliknya menjadi pembakar semangatnya untuk bekerja keras bagi memastikan perniagaan kecilnya berkembang dan kebajikan pekerja terjamin.

Hari ini, wanita berasal dari Sabah itu membuktikan dia berjaya menangkis persepsi negatif apabila perniagaan kek tapak kuda diusahakannya makin maju.

Malah kini dia mempunyai 43 pekerja dilengkapi caruman kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) dan kemudahan lain.

Sesuatu membanggakan dengan wanita ini ialah semangat juangnya sebagai usahawan begitu tinggi.

Bermula menjual satu kek tapak kuda ketika peringkat awal kini dia berjaya menjual 2,100 kek berkenaan setiap hari.

Auni Aufiyah berkata, bukan mudah untuk dia berada pada tahap ini kerana banyak liku yang dilaluinya.

Menurutnya, dia pernah tidak tidur selama dua hari dan terpaksa mengambil minuman berkafein untuk bertahan daripada mengantuk bagi menyiapkan 398 tempahan kek itu seorang diri.

"Situasi ini ketika peringkat awal perniagaannya mula dikenali ramai selain belum mempunyai pekerja.

"Saya menerima tempahan yang agak luar biasa dalam masa satu jam menerusi WhatsApp dan menganggap ia rezeki daripada Allah SWT," katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, walaupun dalam keadaan kelengkapan terhad iaitu hanya memiliki satu mesin pengadun kek dan dua ketuhar, tetapi dia dapat menyiapkan semua tempahan dalam masa dua hari yang turut dibantu suaminya.

"Ini kenangan manis menjadi usahawan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila .

"Saya sendiri berasa kagum dengan kemampuan diri pada masa itu dan dapat menyiapkan tempahan tanpa masalah besar," katanya.

Berkongsi sejarah awal perniagaan kek tapak kuda Auni Aufiyah berkata, ia bermula kerana mengidam untuk makan kek berkenaan ketika hamil anak pertamanya.

Jelasnya, kesukaran mendapatkan kek itu yang menepati cita rasa mendorongnya membuat sendiri kek berkenaan.

KAKITANGAN membungkus kek.
KAKITANGAN membungkus kek.

"Suami mengatakan kek air tangan saya enak dan itu menjentik hati saya untuk menjual kek ini.

"Peringkat permulaan saya menjualnya di sekitar kampung dan kemudian mengemas kini produk di Facebook.

Bermula daripada ini, kek tapak kuda dikenali," katanya.

Seterusnya dia memberanikan diri membuat kandungan di TikTok dan menjenamakan produk berkenaan pada Ogos 2021.

"Pada peringkat awal video kandungan itu sukar mendapat tontonan dan tidak menjadi 'fyp' tetapi saya tidak pernah berputus asa.

"Sebenarnya saya seorang yang pemalu di hadapan kamera tetapi memberanikan diri untuk keluar daripada zon selesa," katanya.

Jelasnya, dia konsisten membuat video di media sosial kerana masih ramai tidak mengetahui kek tapak kuda.

"Kek tapak kuda berasal dari Brunei, tetapi oleh kerana Sabah berdekatan dengan Brunei, maka kek berkenaan turut menjadi manisan masyarakat negeri ini.

"Kek tapak kuda antara hidangan wajib setiap kali musim perayaan di Sabah," katanya.

Auni Aufiyah berkata, titik tolak kepada kemajuan perniagaannya ialah selepas satu video TikToknya mendapat jutaan tontonan.

"Saya terkejut kerana tiada pengikut di TikTok tetapi video menjadi 'fyp.'

"Saya konsisten membuat video di media sosial kerana masih ramai tidak mengetahui mengenai kek tapak kuda," katanya.

Selain itu katanya, pada 2021 dia turut berkongsi resepi kek itu kepada orang ramai hingga ada di antara mereka mereka mampu menjana pendapatan sebagai usahawan kek tapak kuda.

"Alhamdullillah dapat memberikan sedikit manfaat kepada orang lain walaupun ada di antara mereka menjadi pesaing saya.

"Saya sentiasa optimis kerana percaya rezeki setiap orang berbeza.

Namun perlu kreatif bagi memastikan produk menjadi pilihan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu Auni Aufiyah menasihati suri rumah supaya tidak menjadikan alasan mempunyai anak kecil untuk tidak melakukan apa-apa yang boleh menjana pendapatan.

"Saya mula membuat kuih tapak kuda ketika anak sulung baru belajar meniarap dan sekarang usianya tiga tahun.

"Sebelum ini saya seorang suri rumah tetapi boleh melakukannya. Insya-Allah suri rumah yang lain juga boleh berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 7:02 AM