MANGSA diselamatkan bomba. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA diselamatkan bomba. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


“MUJUR dia ikut arahan kami,” kata Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Ahmad Aini Sukri, mengenai tular usaha menyelamat warga Nepal berusia 30-an dalam kejadian berdekatan Jeti Kastam Batu Pahat di Batu Pahat, semalam.

Menurutnya, dia bersama tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas mendapat panggilan kecemasan daripada orang ramai yang melihat lelaki lemas pada 6.40 petang.

“Laporan awal diterima pusat gerakan hanya menyatakan seorang lelaki terjatuh di Sungai Batu Pahat dan lokasinya berdekatan dengan Jeti Kastam Batu Pahat.

“Sejurus tiba di lokasi, seorang lelaki warga asing dilihat dalam keadaan tangan terkapai-kapai selepas terjatuh ke sungai” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tugas menyelamatkan mangsa dipermudahkan kerana berdekatan dengan bot Kastam yang diletak di lokasi berkenaan.

“Kedudukan mangsa ketika itu kira-kira 10 meter dari jeti, tetapi kami dapat menghampirinya dengan menaiki bot di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, biarpun tidak memahami bahasa dituturkan, tetapi warga asing berkenaan mengikut setiap arahan diberikan.

“Dia mengikut arahan dan meletakkan tali dan mengikat ke badannya, keadaan itu memudahkan kami menyelamatkannya,” katanya.

Katanya, identiti mangsa belum diketahui namun percaya mangsa warga Nepal selepas diberitahu berasal dari negara berkenaan selain memakai tali pinggang tertera perkataan ‘i love Nepal’.

Katanya, mangsa berjaya diselamatkan pada jam 7.12 malam, tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 1:45 PM