Nor Amalina Alias


Pasir Mas: Dulu lembu sebelum ini dipelihara untuk bekerja membajak sawah atau mendapatkan daging dan susu, namun fungsi haiwan itu kini bertukar menjadi hobi unik apabila kini dipelihara sebagai haiwan hiasan.

Malah, hobi itu bukan biasa-biasa kerana membabitkan nilaian puluhan ribu ringgit, sekali gus menaiktaraf kerjaya penternak lembu yang dilihat sebagai 'kerja kampung'.

Ini kerana lembu dipilih adalah daripada baka lembu sado atau lembu comel jenis Charolais, Limosin, Blonde, Blue Beggar dan Indra 95.

Penternak yang juga peminat lembu sado, Zahari Umar, 57, berkata, fenomena hobi lembu sado hiasan semakin mendapat permintaan ramai sejak beberapa tahun lalu menyebabkan ramai penternak lembu tempatan beralih ke arah penternakan lembu sado.

Katanya, hasil diterima sangat berbaloi dan mampu mencecah keuntungan berkali-kali ganda meskipun nilai pembelian haiwan itu mencecah ribuan ringgit.

"Penternak kini semakin berani kerana hobi ini berkembang, dalam tempoh dua minggu hingga setahun harga jualan lembu sado boleh meningkat berkali ganda daripada harga beli.

"Contohnya, saya beli lembu diberi nama Luna seberat 600 kilogram yang berusia 23 bulan dan kini ada sanggup bayar RM58,000 dan harganya mampu mencecah RM71,000," katanya ketika ditemui di Kampung Binjal Kangkung, di sini.

Zahari berkata, penjagaan lembu sado mudah kerana lembu hanya diletakkan dalam kandang atau sekitar rumah berbanding lembu tempatan yang perlu dikeluarkan dan dimasukkan ke kandang setiap hari.

Katanya, dia turut menanam sendiri rumput jenis Napier sebagai makanan khas lembu sadonya selain campuran dedak daripada tiga jenis iaitu PKE No 8878, dedak kambing hitam dan dedak soya.

"Lembu akan diberi makan dua kali sehari selain turut dimandikan setiap hari bagi menjaga kebersihan dan kecantikkannya' selain mencucuk vitamin enam bulan sekali sebagai langkah pencegahan penyakit.

"Harga enam lembu sado peliharaan saya kini boleh cecah lebih RM100,000 ke atas dan saya sudah membuat urusan jual beli 40 lembu sado sejak 2015," katanya.

Rakannya, Mohd Azuri Ibrahim, 48, berkata, dia turut beralih daripada menternak lembu tempatan kepada lembu sado sejak tiga tahun lalu selepas melihat potensi Kelantan sebagai perintis pembiakan baka haiwan itu.

Katanya, kerana fungsinya sebagai haiwan hiasan untuk hobi dan pertandingan, faktor bentuk badan dan paras rupa lembu atau dipanggil persembahan fizikal lembu adalah elemen paling dititikberatkan.

"Ilmu asas dilihat adalah bentuk rahang lembu, kita nak yang muka pendek, telinga pula cantik jenis bulat kecil atau kita panggil telinga daun nangka.

"Kalau telinga panjang dipanggil daun getah kita tak mahu selain melihat pada aspek lain seperti mata, punggung dan berat lembu.

"Sebab itu, ketika urusan jual beli lembu sado, biasanya akan disertai 'tukang tilik' atau sifu lembu yang berpengalaman berkenaan lembu sado untuk menilai 'kecantikan' lembu berkenaan," katanya.

ZAHARI (kanan) bersama rakan menunjukkan lembu sado bernama Luna seberat 600 kilogram yang boleh mencecah harga RM71,000. FOTO NOR AMALINA ALIAS
ZAHARI (kanan) bersama rakan menunjukkan lembu sado bernama Luna seberat 600 kilogram yang boleh mencecah harga RM71,000. FOTO NOR AMALINA ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:33 PM