MOHD Mazuki bersama lembu sadonya bernama Mat Leh yang dinobatkan sebagai King Of Sado 2018. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Mazuki bersama lembu sadonya bernama Mat Leh yang dinobatkan sebagai King Of Sado 2018. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

PENGORBANAN penternak membelanjakan lebih RM250 sebulan untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada lembu baka berbaloi apabila lembu jantan kesayangannya itu dinobatkan sebagai ‘King Of Sado 2018’ pada Pertandingan Lembu Sado Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Kemenangan itu melayakkan Mohd Mazuki Yusof, 47, dari Kampung Pengkalan Arang, Manir, membawa pulang hadiah lembu berharga RM3,000.

Mohd Mazuki berkata, dia memelihara lembu baka charolais demak seberat 754 kilogram yang diberi nama 'Mat Leh' sejak 2016 ketika lembu itu berusia lapan bulan.

"Mat Leh ialah lembu pertama saya. Ia dibeli menggunakan wang simpanan dengan harga RM6,700 di Kampung Nipah, Bachok, Kelantan.

"Saya membelinya kerana terpengaruh dengan minat rakan sekeliling yang gemar menternak lembu baka.

"Rupanya pelaburan saya itu berbaloi kerana sekarang Mat Leh dinobatkan sebagai raja lembu sado Terengganu," katanya ketika ditemui di tapak pertandingan di Perkarangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Manir, hari ini.

Beliau tidak menjangka lembu kesayangannya itu akan memenangi pertandingan itu memandangkan banyak penyertaan daripada penternak berpengalaman yang mempunyai lembu sado lebih berkualiti.

"Rasa penat menguruskan dan pengorbanan membelanjakan banyak wang untuk membela Mat Leh terbayar apabila memenangi ketegori utama pertandingan ini.

"Kemenangan ini juga memberi perangsang untuk saya mengembangkan lagi kegiatan penternakan ini pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, dia hanya memastikan lembunya diberi makanan yang cukup selain vitamin dan rawatan sampingan untuk memastikan lembu sadonya itu membesar dengan baik.

"Sebelum ini seorang peminat lembu pernah menawarkan RM15,000 untuk membeli 'Mat Leh', tetapi saya tidak bersedia menjualnya,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Ahmad, 68, dari Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu berkata, dia gembira apabila lembu sado betina miliknya yang diberi nama 'Minah' dinobatkan sebagai Queen Of Sado 2018.

"Kemenangan itu menebus kekecewaan saya berada di tempat kedua pada Pertandingan Lembu Sado pada 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 7:04 PM