ABDUL Halim (kiri) bersama Mohd Ridzuan menunjukkan telur ayam dijual di Sunshine Square, Bayan Baru, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
ABDUL Halim (kiri) bersama Mohd Ridzuan menunjukkan telur ayam dijual di Sunshine Square, Bayan Baru, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pulau Pinang menerima 28 aduan mengenai peniaga yang tidak meletakkan tanda harga di premis jualan mereka sepanjang bulan lalu.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghafar, berkata aduan itu membabitkan kompaun berjumlah RM2,000 dengan nilai rampasan RM2,040.80.

Beliau berkata, pemeriksaan berkenaan dijalankan agensi itu selepas mendapat aduan orang ramai yang juga pelanggan di premis terbabit.

“KPDNHEP melakukan pemeriksaan menerusi aduan orang ramai di beberapa kedai runcit, gerai penjaja dan pasar raya sekitar negeri ini dan didapati ada peniaga tidak meletakkan tanda harga pada beberapa barangan termasuk barang kawalan.

“Kesalahan itu membabitkan kes ketidakpatuhan terhadap tanda harga di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993,” katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Mohd Ridzuan ditemui semasa Majlis Penentuan Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2019 di Sunshine Square, Bayan Baru.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, dengan pelancaran SKHMP terbabit, KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan sepanjang musim perayaan di semua premis bagi memastikan peniaga mematuhi kawalan harga ditetapkan.

Katanya, pemantauan sudah dilakukan anggota penguat kuasa KPDNHEP sejak semalam (30 Januari) hingga 8 Februari depan dengan kerjasama sukarelawan dari semasa ke semasa.

“Kami dapati harga 13 barangan terkawal dijual lebih rendah daripada ditetapkan dan langkah itu memang wajar dilakukan di semua premis.

“Justeru, peniaga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan dan etika perniagaan yang bukan sahaja berdasarkan keuntungan, tetapi akan membantu pelanggan membuat pilihan dengan tepat dan bijak,” katanya lagi.

Sebanyak 13 barangan terkawal berkenaan ialah ayam hidup, standard dan super; telur ayam gred A,B,C; kubis bulat import Indonesia dan China; bawang putih, ikan bawal putih, udang putih besar, daging babi perut, daging dan lemak.

SKHMP Tahun Baharu Cina berlangsung selama 10 hari iaitu selama enam hari sebelum dan tiga hari selepas perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 4:19 PM