HAMZAH  (tengah) meninjau harga bawang putih yang dijual di sebuah pasar raya.
HAMZAH (tengah) meninjau harga bawang putih yang dijual di sebuah pasar raya.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Hanya tiga peniaga di seluruh negara dikesan tidak meletakkan tanda harga warna merah jambu pada hari pertama Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baru Cina 2017 yang bermula kelmarin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peniaga terbabit tidak meletakkan tanda harga merah jambu sebaliknya tanda harga biasa membabitkan 13 barangan kawalan di bawah skim berkenaan yang diumumkan 18 Januari lalu.

“Tanda harga merah jambu, bermakna barang itu termasuk dalam harga barangan kawalan musim perayaan jika tidak menggunakannya ia menunjukkan peniaga cenderung mengenakan harga melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan pelaksanaan SKHMP Tahun Baru Cina 2017 di Pasar Awam Ipoh, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dan Pasaraya Econsave, semalam

Menurutnya, peniaga yang dikesan melakukan kesalahan itu mungkin menyangka penguat kuasa tidak membuat pemantauan pada hari pertama skim dijalankan, namun sebenarnya KPDNKK akan memantau sepanjang 12 hari ia dilaksanakan.

“Individu yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000 mengikut Perintah Kawalan harga dan Antipencatutan (Penandaan barangan harga terkawal) 2016.

“Bagi syarikat pula denda maksimum RM20,000 atau kompaun maksimum RM10,000 mengikut akta sama,” katanya.

Hamzah berkata, melalui skim berkenaan peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga warna merah jambu ke atas barangan yang sudah diumumkan antaranya ayam, telur, bawang putih, ikan bawal putih dan beberapa barangan lagi.

“Berdasarkan sepanjang dua tahun skim ini dilaksanakan, kita dapati ramai peniaga yang mematuhinya, namun apa yang lebih penting kita mahu peniaga menjual barangan harga kawalan itu lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, daripada pemantauan yang dijalankannya semalam, beliau mendapati barang keperluan asas seperti minyak masak, tepung dan gula masih lagi mencukupi dalam pasaran.

“Ini menunjukkan sekiranya pengguna membeli barang sekadar yang diperlukan sudah tentu bekalan akan sentiasa ada di pasaran terutama pada musim perayaan.

“Saya juga dapati kebanyakan produk dijual di pasar raya secara purata 10 peratus lebih murah daripada kedai biasa atau pasar dan ini memberi pilihan kepada pengguna untuk berbelanja dengan lebih bijak,” katanya.

Hamzah berkata, harga barangan di pasar raya termasuk di negeri yang terbabit banjir juga masih sama, namun harga barang basah ada sedikit kenaikan dan perlu difahami ia disebabkan kesempitan atau kesusahan yang dialami pihak seperti nelayan yang menyebabkan kekurangan bekalan di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:08 AM