LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kemalangan menyebabkan dua pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kemalangan menyebabkan dua pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian.
Rosli Ilham


“PATUTLAH malam tadi saya tak sedap hati sehingga tak dapat tidur, rupanya saya akan kehilangan anak saudara dan sepupu serentak,” kata Saleha Daud, 63.

Dalam kemalangan pada 8.30 pagi di Kilometer 12.3, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dekat Ketengah Jaya. Dungun itu, Saleha kehilangan anak saudara, Muhamad Hisyam Alimun, 26, dan sepupunya, Fazroazahar Rahim, 34.

Dalam kemalangan itu, kereta Proton Satria dipandu Muhamad Hisyam dari arah Ketengah Jaya ke Paka bertembung dengan Honda Civic dipandu Fazroazhar.

Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian manakala anak saudara Muhamad Hisyam, Airil Sarojini, 9, cedera di muka dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Saleha berkata, dia menjaga Muhammad Hisyam sejak berusia 11 tahun selepas ibu arwah meninggal dalam kemalangan di Kuantan, 15 tahun lalu.

“Dalam kemalangan itu, ibu Hisham cedera parah dan koma selama seminggu dan sejak kejadian itu, saya mengambil arwah tiga beradik untuk dijaga seperti anak saya sendiri.

“Pada Mac lalu, saya mengadakan kenduri perkahwinan Hisham dan selepas itu, Hisham berpindah ke rumah isterinya di Felda Kerteh,” katanya.

Katanya, isteri arwah baru bersalin 14 hari lalu dan kali terakhir dia bertemu arwah ketika melawat isterinya bersalin.

“Ketika itu arwah memberitahu dia sangat gembira mendapat anak perempuan dan dia memeluk saya dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian Muhamad Hisham dalam perjalanan untuk membaiki motosikal adiknya yang rosak di Paka manakala Fazroazahar dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis berkerja syif malam di Kerteh.

Katanya, anak lelakinya memaklumkan kereta Muhamad Hisyam kemalangan sebelum mereka ke tempat kejadian dan tak sangka kemalangan itu membabitkan dua saudaranya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Satria terbabas ke kanan jalan lalu bertembung dengan Honda Civic dari arah bertentangan.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

'Dua pemandu maut kereta bertembung [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 8:06 PM