Farid Kamil ketika hadir prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO NSTP
Farid Kamil ketika hadir prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO NSTP
Sarah Zulkifli


SAKSI kes penyalahgunaan dadah membabitkan pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari, memberitahu Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, ada perbezaan tandatangan yang tertera pada dua borang ujian saringan awal air kencing pelakon itu.

Koperal Muhammad Iskandar Ali, 29, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkata, perbezaan tandatangan itu didapati pada borang akuan pemberi dan borang permintaan ujian pengesanan dadah (UPD) dalam air kencing.

Muhammad Iskandar yang ketika itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Petaling Jaya berkata, pada 11 Januari tahun lalu di Bahagian Narkorik IPD berkenaan, dia menyemak dua borang itu serta satu lagi borang serah menyerah selepas menerima butiran berkenaan daripada Inspektor Faizal yang menjadi pengadu berkaitan kes ini.

Menurutnya, dia mengisi ketiga-tiga borang berkenaan dan kemudian memberikan kepada Farid Kamil, 38, untuk ditandatanganinya.

“Pengadu kes ini, iaitu Inspektor Faizal yang mendapat arahan meminta saya bersama-sama dua lagi rakan untuk membawa Farid Kamil ke pejabat narkotik IPD Petaling Jaya untuk saringan ujian air kencing,” katanya dalam sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran ketika perbicaraan yang dijalankan di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Bagaimanapun, Muhammad Iskandar berkata, biarpun kedua-dua tandatangan itu berbeza tetapi dia yakin tandatangan itu milik pelakon berkenaan kerana menyaksikan sendiri Farid Kamil menurunkan tandatangan pada borang itu.

“Borang akuan pemberi ditandatangani sebelum pelakon itu menjalankan ujian air kencing, manakala baki borang lagi ditandatangani selepas selesai menjalani ujian air kencing,” katanya.

Disoal Alia Sumayyah mengenai adakah dia menyoal perbezaan tandatangan itu kepada Farid Kamil ketika itu, Muhammad Iskandar menjawab ringkas ‘tiada’.

Sementara itu, ketika sesi soal balas yang dikendalikan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil, Muhammad Iskandar bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kehadiran pegawai selia daripada Jabatan Narkotik penting untuk memastikan prosedur pengambilan urin itu tepat.

Selain itu, saksi turut bersetuju bahawa hanya ada satu botol urin milik Farid Kamil yang dihantar untuk dianalisa di Makmal Dadah Dan Penyelidikan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perbicaraan akan bersambung 31 Januari ini dan 27 Februari depan dengan dua lagi saksi, termasuk pegawai penyiasat Inspektor Asrul Izwan Mahizan akan hadir sebagai saksi kes penyalahgunaan dadah pelakon itu.

Pada 25 Januari tahun lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas menggunakan dadah THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya pada 4.30 petang, tarikh sama.

Farid Kamil didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 4:09 PM