WAN Ahmad Najmuddin (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Balai Polis Bayu Damai di pekarangan Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
WAN Ahmad Najmuddin (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Balai Polis Bayu Damai di pekarangan Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
Nurul Amanina Suhaini


SEBAHAGIAN besar balai polis di seluruh negara sudah wujud lebih 30 tahun dan sudah tiba masanya untuk dinaik taraf atau dibina baharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya sedia maklum mengenai isu berkenaan, selain sudah mengadakan pertemuan bagi mengatasi permasalahan itu.

“Permasalahan bukan di sini sahaja (Johor), tetapi di seluruh negara, keadaan bangunan daif, tempat kerja tidak begitu selesa, malah dalam lawatan kerja saya di Kontinjen Sarawak, tempat saya berkhidmat sekitar 1980-an di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, masih dalam situasi daif.

“Bahkan sekarang lagi teruk dan siling boleh reput pada bila-bila masa sahaja.

“Di peringkat PDRM Bukit Aman, kami sudah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kira-kira dua bulan lalu, selain sudah dibawa ke pengetahuan beliau.

“Mungkin dengan ini, perkara ini boleh dibawa ke pengetahuan MOF (Kementerian Kewangan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Bayu Damai di Kota Tinggi, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti bangunan balai polis daif, namun tiada statistik keseluruhan balai terbabit perlu dinaik taraf.

Sementara itu dalam ucapannya mengenai Balai Polis Bayu Damai, beliau berkata, balai dengan keluasan 16,389.46 meter persegi itu siap dibina pada 15 November 2016 dan setakat ini menempatkan 156 pegawai dan anggota.

Katanya, balai polis itu turut menempatkan empat bilik lokap, sebuah rumah ketua polis balai, satu blok perumahan lima tingkat dengan 18 unit rumah, satu blok stor barang kes berpagar dan satu pondok pengawal.

“Memiliki 14,200 penduduk, kawasan Bayu Damai dan sekitarnya menjadi tumpuan pelabur bagi urus niaga komersial dan pusat industri utama di negeri ini.

“Kewujudan aktiviti ekonomi ini menyumbang ke arah pertambahan kadar penduduk tinggi dan sudah tentu amat memerlukan perkhidmatan kepolisan bagi menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam.

“Statistik jenayah indeks di kawasan Bayu Damai sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 37 kes jenayah. Sehubungan itu, PDRM perlu bersama-sama meningkatkan momentum bagi mencapai prestasi lebih cemerlang serta terus cekal berhadapan dengan apa jua cabaran mendatang,” katanya.

Beliau berharap kewujudan balai berkenaan akan menjadi penggerak dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua penduduk setempat dengan menjadikan keselamatan komuniti tanggungjawab utama PDRM seterusnya membendung jenayah dan menjamin kesejahteraan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 3:41 PM