Nor Fazlina Abdul Rahim


PEMBANTU tadbir kanan wanita di sebuah Pusat Pemulihan Akhlak yang didakwa membuat 90 tuntutan palsu, direman enam hari, bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret di Kota Bharu, Nor Faizah Abdullah.

Suspek berusia 39 tahun itu direman bermula hari ini, sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek tiba di mahkamah pada jam 9.50 pagi dengan berpakaian lokap SPRM sebelum keluar jam 10.30 pagi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, SPRM Kelantan menahan seorang pembantu tadbir kanan bagi membantu siasatan berhubung kes 90 tuntutan palsu bernilai lebih RM149,000, semalam.

Wanita terbabit ditahan di Pejabat SPRM Kelantan jam 1.50 tengah hari, selepas hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati suspek membuat 69 tuntutan palsu bagi rawatan perubatan untuk diri beliau, suami dan ayahnya yang dianggarkan bernilai lebih RM117,000, sedangkan rawatan itu tidak pernah dilakukan.

Suspek juga membuat 25 lagi tuntutan palsu bagi pembelian ubat dan satu tuntutan palsu bagi pembelian alatan ortopedik yang dianggarkan bernilai lebih RM31,000, sedangkan pembelian tidak pernah dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:35 PM