GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Fazlina Abdul Rahim


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri untuk siasatan mengenai tuntutan palsu.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di pejabat KEMAS negeri pada 4.30 petang semalam.

Sumber berkata, suspek ditahan susulan aduan yang diterima berkaitan pembabitannya dalam tuntutan palsu bagi program atau kursus anjuran KEMAS negeri.

“Tuntutan disyaki mengandungi butiran palsu membabitkan pembekalan makan minum dan peralatan, sedangkan pembekalan tidak disediakan sepenuhnya.

“Selain itu, tuntutan penyelenggaraan kenderaan jabatan disyaki mengandungi butiran palsu kerana dipercayai tiada penyelenggaraan dilaksanakan.

“Selain itu, terdapat tuntutan bagi program atau kursus sedangkan program berkenaan tidak dijalankan dengan sempurna,” katanya.

Sumber turut memaklumkan, siasatan juga membabitkan kes tuntutan palsu bagi program bersama masyarakat di 11 Parlimen seluruh Kelantan yang dipercayai berlaku tahun lalu.

“Siasatan juga membabitkan pelantikan saudara mara sebagai pembekal perolehan atau perkhidmatan dengan KEMAS Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan pengarah berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 akta sama.

Suspek direman empat hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 2:36 PM