PENOLONG Kanan Penguasa Bomba 11 berusia 33 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM6,480. FOTO Imran Makhzan
PENOLONG Kanan Penguasa Bomba 11 berusia 33 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM6,480. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply


PENGUASA Kanan Bomba 11 direman lima hari sehingga Selasa ini selepas dipercayai membuat tuntutan palsu sebanyak RM6,480.

Suspek berusia 33 tahun yang bertugas di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang itu didakwa menggunakan sebuah syarikat untuk menyediakan makan dan minum bagi peserta bengkel perancangan dan persediaan pertandingan kawad kecekapan pada Jun lalu berjumlah RM6,480 sedangkan program itu tidak wujud.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed kepada suspek bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek yang memakai t-shirt biru hitam dan berseluar kelabu tiba di Kompleks Perkarangan Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu kira-kira 10 pagi, hari ini.

Suspek sebelum ini ditahan 8.30 malam tadi di pejabat SPRM Terengganu.

Pada Rabu lalu, di mahkamah sama, seorang Penolong Kanan Penguasa Bomba yang bertugas di akademi sama direman tujuh hari sehingga Selasa ini selepas dipercayai menyalahgunakan jawatannya dengan mengesyorkan syarikat milik saudaranya menjalankan kerja-kerja membekal alat ganti ‘walkie-talkie’ bernilai RM8,100.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 12:18 PM