Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG pengerusi majlis belia daerah direman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan satu kes tuntutan palsu bernilai RM500,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa di Kuala Terengganu, hari ini.

Ia bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Suspek lelaki berusia 38 tahun dipercayai membuat tuntutan bernilai RM500,000 kepada sebuah pejabat tanah bagi perbelanjaan untuk 32 program.

Tuntutan berkenaan dikatakan dibuat suspek sekitar Mei tahun lalu untuk program dikatakan dijalankan di sekitar kawasan di sebuah daerah, sedangkan program itu dipercayai tidak dilaksanakan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak ditahan di Pejabat SPRM Terengganu pada 5.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 7:15 PM
SUSPEK (tengah) dibawa pegawai SPRM untuk direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu RM500,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria.
SUSPEK (tengah) dibawa pegawai SPRM untuk direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu RM500,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria.