GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PEMANDU teksi berdaftar di Melaka dijangka menerima insentif dalam bentuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, perkara itu sedang dibincangkan secara terperinci oleh pihak terbabit dan akan dibawa untuk diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

“… hasil beberapa siri pertemuan yang dilakukan bersama kumpulan itu sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri, kita lihat antara usaha membela kebajikan mereka ialah melalui caruman KWSP.

“Caruman KWSP ini akan ditanggung kerajaan negeri kerana kita tahu pendapatan pemandu teksi ini tidak menentu dan mereka terdedah dengan kemalangan.

“Jadi insentif ini sedikit sebanyak akan meringankan beban kerana mereka akan mendapat pencen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lori Pengangkutan anjuran Pemilik Lori Tipper Dumper dan Simen Mixer Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini rekod menunjukkan terdapat kira-kira 1,000 pemandu teksi berdaftar di negeri itu yang bernaung di bawah 16 persatuan teksi.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati pemandu kenderaan berat yang menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Utara-Selatan di Melaka supaya meletakkan kenderaan masing-masing di tempat yang disediakan.

Ini susulan tinjauan operator lebuh raya PLUS Malaysia Berhad mendapati rata-rata pemandu kenderaan berat, khususnya lori tidak meletak kenderaan mereka di tempat yang sepatutnya ketika berhenti di kawasan R&R.

“Perbuatan itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi turut mengancam keselamatan pengguna lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan itu termasuk menjadi pemudah cara dalam perkara yang membabitkan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:04 PM