AHMAD Fadzli (kanan) bersama wakil Pejabat Zakat Kuala Muda mengunjungi keluarga Hasni. FOTO  Nor Farhani Che Ad
AHMAD Fadzli (kanan) bersama wakil Pejabat Zakat Kuala Muda mengunjungi keluarga Hasni. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


“SAYA dan keluarga tidak pernah meminta-minta kerana kami rasa ada lagi yang lebih susah daripada kami yang perlu dibantu.

“Namun, sejak kisah keluarga kami disiarkan di akhbar, ramai yang tampil menyatakan hasrat membiayai yuran persekolahan anak dan membeli kelengkapan sekolah mereka,” kata Hasni Elias, 39, bapa kepada Muhammad Akib Jebat, 9, murid Tahun Tiga dari sebuah sekolah di Tikam Batu, Sungai Petani yang tular selepas dikatakan memakai pakaian sekolah abangnya ke sekolah.

Katanya, bantuan dari segi kewangan tidak dapat diterima ketika ini disebabkan ketiadaan akaun bank kerana diisytiharkan bankrap namun dia akan cuba membuka akaun buat isterinya, Siti Fauziah Abdullah, 32, esok.

“Sejak semalam, ramai yang menghubungi dan mesej meminta nombor akaun tapi saya dan isteri tidak ada akaun bank.

“Ada juga yang meminta alamat untuk mengirimkan pakaian sekolah buat anak-anak dan ada juga yang datang ke rumah menghulurkan sumbangan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Sri Pekula, Tikam Batu, hari ini.

Keluarga ini turut dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim, Pejabat Zakat Kuala Muda, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini yang hadir menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan.

Hasni berkata, dia akan menggunakan sumbangan yang diterima untuk menyelesaikan yuran persekolahan dan membeli buku tulis anak-anaknya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pejabat Zakat Kuala Muda Bahagian Agihan, Muhammad Syazwin Yusof berkata, berlaku kelewatan dalam pengagihan pakaian sekolah di beberapa sekolah di sekitar Kuala Muda tahun ini.

Bagaimanapun, katanya bantuan kecemasan berupa wang tunai diberikan kepada keluarga itu pada kunjungi berkenaan untuk digunakan terlebih dulu bagi menyelesaikan keperluan tertentu.

“Kita akan nilai jenis bantuan yang bersesuaian dengan keluarga ini, kalau layak mereka boleh dapat bantuan bulanan bermula RM200 hingga RM500 sebulan bergantung pada pendapatan dan tanggungan keluarga.

“Sebenarnya kita juga mempunyai pelbagai inisiatif lain bagi golongan kurang berkemampuan menerima bantuan daripada pejabat zakat seperti bantuan yang disalurkan melalui masjid.

“Golongan ini hanya perlu datang ke masjid berdekatan dengan memaklumkan jenis bantuan yang diperlukan dan bantuan itu akan diusahakan oleh penolong amil setiap kariah yang dilantik,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Saya tiada kemampuan wang...'

Patut lah pegang seluar, seret kaki...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 3:01 PM