Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jumlah pelajar asnaf fakir dan miskin di Selangor yang menerima bantuan persekolahan bagi sesi 2021 meningkat kira-kira tujuh peratus berbanding sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, sebelum ini 65,000 pelajar asnaf menerima bantuan namun jumlahnya meningkat kepada 70,258 pelajar.

"Walaupun Selangor menerima sumbangan zakat yang banyak, tetapi LZS perlu menyantuni jumlah asnaf yang ramai dan bertambah setiap tahun terutamanya yang tinggal di bandar.

"Pada waktu Covid-19 ini, ramai terjejas di mana 60 peratus asnaf adalah miskin bandar. Jadi, terus bantu LZS untuk membantu asnaf, terus berzakat. Terima kasih semua penyumbang yang menyokong LZS," katanya pada Program Agihan Bantuan Persekolahan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi sesi 2021 di Ibu Pejabat LZS, di sini, tadi.

Saipolyazan berkata, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM34,600,200 (RM34.6 juta) kepada 32,722 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2021.

"Jumlah itu bagi menampung kos yuran dan peralatan persekolahan bagi 70,258 pelajar asnaf bermula dari peringkat pra sekolah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.

"Bantuan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan beban asnaf yang berdaftar dengan LZS terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka," katanya.

Menurut beliau, setiap pelajar menerima bantuan yuran persekolahan di antara RM100 hingga RM250 seorang, bergantung kepada tahap persekolahan mereka iaitu pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

"Bantuan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu.

"Setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima RM170, pelajar sekolah rendah agama RM150 seorang dan RM200 bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan atau sekolah menengah agama membabitkan bantuan keperluan peralatan sekolah meliputi kelengkapan sepasang pakaian seragam, kasut dan stoking, peralatan seperti beg, alat tulis," katanya.

Beliau berkata, kelengkapan persekolahan itu boleh ditebus menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih seperti Pasar Raya TESCO, Pasar Raya Borong SAKAN, JAKEL, Canggih serta Fairuz Ramdan Design.

"Bagi tiga daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, pelajar boleh menebus bantuan keperluan peralatan sekolah melalui kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS)," katanya.

SAIPOLYAZAN (tengah, belakang) bersama pelajar yang menerima kelengkapan persekolahan pada Program Agihan Bantuan Persekolahan Sesi 2021. FOTO Faiz Anuar
SAIPOLYAZAN (tengah, belakang) bersama pelajar yang menerima kelengkapan persekolahan pada Program Agihan Bantuan Persekolahan Sesi 2021. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, seorang asnaf yang menerima sumbangan, Azli Ibrahim, 43 berkata, seramai tiga anaknya yang bersekolah menerima bantuan itu.

"Saya mula terima bantuan zakat sejak tahun lepas, bantuan LZS banyak ringankan bebas terutamanya persekolahan anak-anak

"Saya niaga jual burger, tahun ini memang sangat terjejas, saya terpaksa buat dua kerja untuk menampung keluarga, Alhamdulillah syukur dengan bantuan ini," katanya ditemui di majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:07 PM