LAPORAN portal berita Harian Metro, Selasa lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro, Selasa lalu.
Faris Fuad


POLIS mengesahkan pekerja wanita warga Indonesia yang ditemui maut di bilik asrama pekerja di Jalan Reko, Kajang, kelmarin, berpunca akibat sesak nafas (asphyxia).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah, berkata pernafasan mangsa terhenti selepas kain disumbatkan ke dalam mulut wanita itu.

“Hasil bedah siasat pada 10 pagi tadi oleh Jabatan Forensik Hospital Serdang turut mendapati tiada kesan cekik atau patah di bahagian leher mangsa.

“Tiada kecederaan lain dikesan pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan misteri kehilangan wanita terbabit selepas tidak hadir ke tempat kerja terungkai apabila dia ditemui mati dibunuh di bilik asrama pekerja berkenaan.

Mohd Sabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa memaklumkan menemui mayat wanita terbabit di bilik berkenaan pada 6.24 petang kelmarin.

“Siasatan berhubung kes itu sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019 2306107,” katanya.

Berita berkaitan

'Tak datang kerja, rupanya dibunuh'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:12 AM