Faris Fuad


POLIS mengesahkan 15 individu maut, manakala 33 individu lagi masih menerima rawatan di beberapa hospital akibat keracunan alkohol.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat jam 5 petang hari ini, kematian itu membabitkan penduduk di Sungai Buloh, Gombak, Kajang, Klang Selatan dan Shah Alam.

“Di Sungai Buloh membabitkan 22 orang di mana tujuh daripadanya meninggal dunia, manakala 15 lagi masih menerima rawatan.

“Manakala di Gombak pula, empat orang disahkan maut dan seorang masih diberikan rawatan.

“Kajang membabitkan 19 orang dengan empat orang meninggal dunia dan 15 lagi masih menerima rawatan.

“Klang Selatan dan Shah Alam masing-masing merekodkan seorang mangsa yang masih menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mazlan memaklumkan tujuh orang maut sementara 16 individu lain dikejarkan ke hospital akibat keracunan alkohol.

Dalam kejadian yang dilaporkan bermula jam 7 malam semalam, kesemua mangsa mengalami muntah teruk selepas disyaki mengambil arak.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis rampas arak di 'Pasar Bangla'

7 maut keracunan alkohol

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 6:56 PM