Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“SEBELUM insiden itu (pemandu bas dipukul) kami peniaga gerai makanan mampu menjana keuntungan RM1,000 sehari, sekarang nak dapat RM500 pun susah.

“Sepatutnya cuti musim sekolah dan cuti hujung minggu ramai pengguna lebuh raya akan singgah tapi disebabkan kes itu tular, kami menjadi mangsa.”

Itu luahan pekerja gerai makanan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah barat di sini, Niliyana Abdul Rahim, 43, mengenai keuntungan perniagaan makanan diraih kian merosot dipercayai diboikot pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Katanya, walaupun insiden pergaduhan dikatakan bermula dari kawasan R&R Gambang arah timur namun, kawasan perniagaannya turut terkena tempias.

Dia yang sudah bekerja di kawasan R&R Gambang arah barat sejak 13 tahun lalu mengakui sudah tidak melihat kelibat pemandu bas ekspres untuk singgah di kawasan itu untuk membeli makanan mahupun untuk berehat.

“Pemandu bas dan lori sudah jarang kami nampak lepas insiden itu, sebelum ini mereka selalu berhenti,” katanya.

Niliyana berharap orang ramai tidak mengambil sikap memboikot kawasan R&R Gambang disebabkan satu kejadian yang masih disiasat pihak polis.

Katanya, tindakan boikot itu menyebabkan mata pencarian penduduk sekitar turut terjejas.

Sementara itu, bagi peniaga gerai di kawasan sama, Amirul Alias, 23, disebabkan gerainya bernombor enam, dia dan keluarga turut menerima tempias perniagaan disebabkan berlaku salah faham yang mengatakan dia dan keluarga menjadi penyebab kepada pergaduhan itu.

“Kejadian berlaku di R&R arah timur tapi orang ingat gerai kami yang jadi punca walhal gerai yang tular itu gerai nombor enam di sebelah sana (R&R Gambang arah timur),” katanya.

Amirul berkata, insiden itu menyebabkan beberapa gerai lain terkesan dari segi pendapatan diraih dan jumlah kehadiran pelanggan yang mana sepatutnya tidak berlaku disebabkan cuti sekolah dan cuti perayaan.

Dalam kejadian 1.30 pagi 24 Disember lalu, seorang pemandu bas ekspres berpakaian serba hitam dipukul sekumpulan lelaki selepas berlaku salah faham antara lelaki terbabit dan kumpulan yang memukulnya itu.

Ekoran itu, tujuh lelaki termasuk pemandu bas ekspres direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Tinjauan dilakukan NSTP pada 10 pagi hingga 1 tengah hari di kedua-dua arah kawasan R&R mendapati, kehadiran pelanggan sememangnya berkurang berbanding kebiasaan.

Bagaimanapun difahamkan sudah ada usaha dan perbincangan dilakukan antara penggerai dan wakil ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya LPT untuk mencari jalan penyelesaian dihadapi peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 4:57 PM
KEADAAN lengang di medan selera kawasan R&R Gambang arah barat yang terkesan, berikutan kes pergaduhan dengan pemandu bas ekpres yang tular di sosial media pada minggu lepas. FOTO Farizul Hafiz Awang
KEADAAN lengang di medan selera kawasan R&R Gambang arah barat yang terkesan, berikutan kes pergaduhan dengan pemandu bas ekpres yang tular di sosial media pada minggu lepas. FOTO Farizul Hafiz Awang