Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MAHKAMAH Majistret Kuantan hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap enam lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memukul pemandu bas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang arah timur, minggu lalu.

Tertuduh masing-masing Ahmad Mohamad Noor, 44; Muhamad Isamrudin Dollah, 34; Shahrizan Mohd Sham, 36; Haire Dollah, 40; Ahmad Kamaruddin Mohamad Noor, 41; dan Mohd Hapis Sukri Dollah, 36, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan tujuan bersama mendatangkan kecederaan ke atas pemandu bas, Mohd Saifullakmal Abdul Rasid, 32, pada 1.30 pagi 24 Disember lalu di kawasan parkir R&R Gambang arah barat, di sini.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Terdahulu, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah supaya mengenakan hukuman denda dalam jumlah yang minimun kerana mereka bergaji rendah selain mempunyai tanggungan keluarga.

Nurunaim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada setiap tertuduh dan boleh dikenakan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor P Prabu.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Mohd Saifullakmal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memukul dua pekerja di gerai di R&R Gambang, arah timur.

Tertuduh berasal dari Kampung Bukit Parit, Marang, Terengganu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Nurunaim.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mencederakan Mohamad Irwan Shah Azman, 17, dengan cara memukul belakang leher mangsa pada 1.30 pagi, Isnin lalu, di R&R Gambang, arah timur.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa dengan sengaja mencederakan Shahril Helmi Mohd Radzuan, 17, dengan mencekik mangsa pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau didenda hingga RM2,000 atau keduanya sekali.

Tertuduh kemudian merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminannya yang ditawarkan kepadanya oleh pihak pendakwaan sebanyak RM5,000 kerana perlu menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.

Nurunaim kemudian memberikan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 14 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 4:12 PM
ENAM lelaki mengaku bersalah dan didenda RM200 setiap seorang, manakala  pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan terbabit dalam kes pergaduhan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur Lebuhraya  Pantai Timur (LPT). FOTO Muhd Asyraf Sawal
ENAM lelaki mengaku bersalah dan didenda RM200 setiap seorang, manakala pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan terbabit dalam kes pergaduhan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur Lebuhraya Pantai Timur (LPT). FOTO Muhd Asyraf Sawal