FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan


PEKERJA kilang dikesan mencuri 11 barang kosmetik di pasar raya di Bayan Baru dekat Balik Pulau, kelmarin.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berada di pintu hadapan pasar raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek yang membawa beg galas ketika itu ditahan pengawal keselamatan dan pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai barang kosmetik dalam begnya yang dipercayai dicuri.

“Pengawal keselamatan itu mendapati suspek gagal mengemukakan resit semua barangan terbabit dan dia kemudian terus menghubungi polis memaklumkan kejadian.

“Susulan daripada itu, polis menahan suspek dan hasil siasatan awal lelaki berkenaan memberitahu dia mencuri barang kosmetik itu kerana mahu menghadiahkan kepada isterinya sempena sambutan Krimas yang bakal tiba,” katanya.

Menurutnya, semua barang yang dicuri terbabit bernilai RM314.36 dan pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di kompleks beli-belah terkenal di persiaran Bayan Indah, dekat Balik Pulau, lelaki ditahan kerana mencuri 14 kereta mainan berharga RM378.50, semalam.

Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 33 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mencuri untuk membeli dadah.

“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan turut dikehendaki polis kerana kes dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 10:37 AM