Hadzlihady Hassan

DUA lelaki Geng Tebuk Besi yang aktif melakukan kegiatan pecah kilang dan sekolah ditahan polis di Bayan Lepas serta Bayan Baru pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, dua lagi ahli geng terbabit berjaya melarikan diri dan kini masih diburu polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, geng berkenaan terdiri daripada warga Vietnam dan mereka mensasarkan peti besi di sekolah serta kilang untuk mencuri barang berharga.

Menurutnya, dalam kejadian pada 2.30 pagi Ahad lalu, empat ahli geng terbabit memecah masuk pejabat sebuah sekolah di Bayan Lepas.

“Bagaimanapun, perbuatan itu disedari pengawal keselamatan yang kemudian berjaya menahan seorang daripada suspek.

“Susulan itu, polis berjaya menahan seorang lagi suspek pada 10.30 pagi hari yang sama,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

ANBALAGAN menunjukkan gambar dua orang suspek Geng Tebuk Besi yang  berjaya melarikan diri semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. -Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
ANBALAGAN menunjukkan gambar dua orang suspek Geng Tebuk Besi yang berjaya melarikan diri semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. -Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL

Menurutnya, dengan penahanan dua suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah peti besi membabitkan kerugian RM235,000 di sekitar daerah Barat Daya.

“Kita turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk melakukan pecah sekolah dan kilang itu.

“Polis kini sedang giat mengesan dua lagi rakan mereka yang dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.

Dua suspek yang masih bebas dikenali sebagai Do Van Thanh dan Pham Van Tu, masing-masing berusia 26 tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8662222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:41 PM
ANBALAGAN (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang kes yang digunakan oleh Geng Tebuk Besi yang aktif melakukan kes pecah kilang dan sekolah semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.  -Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL