Hadzlihady Hassan


UPAH lelaki warga Nepal untuk menjaga dan merebus air ketum. Itu dilakukan sekumpulan lelaki tempatan yang menjadikan dua rumah sebagai tempat memproses air ketum sebelum ia dijual sekitar Balik Pulau.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila polis menyerbu kediaman itu di Permatang Damar Laut, Batu Maung pada 1.50 pagi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam serbuan berkenaan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki Nepal berusia 24 hingga 29 tahun ditahan.

Anbalagan (tengah) dan pegawainya menunjukkan bungkusan cecair, daun ketum dan peralatan memproses yang dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO Danial Saad.
Anbalagan (tengah) dan pegawainya menunjukkan bungkusan cecair, daun ketum dan peralatan memproses yang dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO Danial Saad.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati warga asing itu yang menganggur, diupah RM50 untuk menjaga dan juga merebus air ketum di dua rumah terbabit.

“Kita juga berjaya merampas 1,000 bungkusan air ketum serta 80 kilogram daun ketum belum diproses, yang semuanya dianggar berjumlah RM7,000.

“Siasatan lanjut mendapati daun ketum itu dibawa dari Kedah, sebelum ia diproses serta dijual sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas pada harga RM5 hingga RM10 untuk sebungkus,” katanya pada sidang media di Balik Pulau, hari ini.

Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati suspek aktif menjalankan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu dan suspek yang berusia 24 tahun turut mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.

Manakala, tiga lagi termasuk lelaki Nepal tidak mempunyai sebarang rekod.

“Semua suspek kini direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Selain bungkusan air ketum, polis turut merampas pelbagai peralatan memproses barang larangan itu antaranya periuk, dapur gas, tong gas serta ais, raga, besen, gelas plastik dan alat penimbang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 2:24 PM