MEOR Hezbullah (berdiri tiga dari kiri) memeriksa dokumen PATI yang ditahan dalam operasi di kilang memproses barangan kitar semula di Nibong Tebal, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.
MEOR Hezbullah (berdiri tiga dari kiri) memeriksa dokumen PATI yang ditahan dalam operasi di kilang memproses barangan kitar semula di Nibong Tebal, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.
Nur Izzati Mohamad


TAKUT ditahan penguat kuasa, seorang pekerja asing mengalami luka di dahi selepas mukanya tersembam ke tanah ketika melarikan diri dalam serbuan di sebuah kilang memproses barangan kitar semula di Nibong Tebal, hari ini.

Lelaki berusia awal 20-an itu melarikan diri sebaik menyedari kenderaan penguat kuasa memasuki kilang berkenaan, namun usahanya tidak berhasil selepas dahinya berlumuran darah akibat terjatuh.

Dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) itu, seramai 14 pendatang tanpa izin (PATI) berusia antara 20-an hingga 40-an dicekup selepas premis itu digempur penguat kuasa.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, penahanan itu dibuat hasil intipan dan maklumat awam berhubung kegiatan menggaji pekerja asing tanpa mengikut syarat ditetapkan dan menyalahi peraturan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, ketika serbuan sekumpulan pekerja asing yang menyedari kelibat penguat kuasa bertempiaran melarikan diri hingga ada seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

“Namun kecekapan anggota penguat kuasa membolehkan mereka ditahan dan pekerja asing yang mengalami kecederaan diberi rawatan awal.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati semua yang ditahan itu sudah bekerja lebih setahun di kilang berkenaan.

“Mereka terdiri daripada warga Myanmar dan China dan didapati melanggar undang-undang mengikut Akta Imigresen antaranya menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tiada dokumen perjalanan sah,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati ada antara mereka yang bekerja di kilang itu tidak menerima bayaran gaji bulanan dan perkara itu disiasat mengikut Akta Pekerjaan 1955.

Menurutnya, majikan kilang berkenaan diarahkan hadir memberi keterangan dan membantu siasatan.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Juru untuk proses dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 12:02 AM