PEKERJA warga asing yang diperiksa ketika operasi Jabatan Imigresen Melaka, semalam.
PEKERJA warga asing yang diperiksa ketika operasi Jabatan Imigresen Melaka, semalam.
Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Segelintir majikan di negara ini dikesan masih berdegil dan tidak takut dikenakan tindakan undang-undang apabila dikesan terus menggaji pekerja warga negara asing tanpa permit yang sah.

Dalam serbuan terbaru Jabatan Imigresen Melaka yang dijalankan di tiga kilang berasingan sekitar Bukit Rambai, di sini, bermula jam 3 petang kelmarin, seramai 139 pekerja asing ditahan kerana gagal menunjukkan permit kerja yang sah.

Ketua Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri Mohamed Lamsah Othman berkata, dalam serbuan terbabit, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 325 pekerja asing.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa berlaku lambakan pekerja warga negara asing di kilang berkenaan.

“Dakwaan itu benar, namun apa yang dikesalkan ialah setiap kali pemeriksaan dijalankan kami mengesan ada majikan yang menggaji pekerja warga negara asing walaupun sebelum ini sudah ramai dikenakan tindakan atas kesalahan sama.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati 139 pekerja asing terbabit melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 seperti tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurutnya, dari jumlah itu, 120 ialah rakyat Bangladesh, 14 Nepal, empat Myanmar dan seorang warga Indonesia berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Mohamed Lamsah berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 20-an dipercayai penyelia di sebuah kilang berkenaan bagi diambil keterangan untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan semula.

“Semua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:17 AM