Safeek Affendy Razali


TINDAKAN kakitangan syarikat pengedar kereta Honda, yang mengeluarkan kenyataan menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, terus mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Terbaru, Pemuda UMNO Setiawangsa, membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, terhadap kakitangan berkenaan dan beberapa individu lain tentang tindakan mereka mengeluarkan kenyataan dalam ruangan Facebook yang boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Setiawangsa, Fadzmel Fadzil berkata, pihaknya berharap supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap kakitangan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang ada meskipun majikannya sudah melakukan penggantungan kerja secara serta-merta.

“Tindakan ini adalah tidak wajar dan menyentuh sensitiviti sesebuah kaum dan agama serta dilihat mampu menimbulkan suasana kurang senang atau kemarahan, khususnya dalam kes ini buat yang beragama Islam.

“Pemuda UMNO Setiawangsa menegaskan bahawa tindakan hari ini bukanlah sebagai langkah mencetus ketegangan kaum, namun hanya untuk memastikan barang siapa, tidak kira mana-mana individu dari apa bangsa atau agama sekalipun tidak boleh sesekali mengeluarkan kenyataan provokatif seperti ini kerana ia hanya akan menjurus kepada kemudaratan perpaduan yang kita telah nikmati selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzmel berkata, dengan langkah membuat laporan polis itu, Pemuda Umno Setiawangsa berharap ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana individu yang ingin lakukan perkara yang sama pada masa akan datang.

Katanya, pihaknya adalah sama seperti majoriti rakyat Malaysia lain yang cintakan keamanan dan perpaduan.

“Negara yang makmur lahir dari kesepaduan hubungan antara kaum serta agama dan jangan hanya dengan provokasi sebegini ia akhirnya mencetus ketegangan sesama kita,” katanya.

Sebelum ini, kakitangan pengedar kereta Honda, Sri Utama Auto Sdn Bhd (Honda Sri Utama Auto) dipercayai memuat naik komen ‘Bukan kerajaan gagal.. tuhan u (awak) yang gagal tidak sembuhkan Adib’ ketika siaran langsung Facebook sidang media Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, malam kelmarin, selepas mengumumkan kematian Muhammad Adib.

Komen itu turut menerima kecaman ramai pihak yang kemudian mendapati individu berkenaan bekerja dengan Honda Sri Utama, sekali gus menyebabkan laman Facebook syarikat itu ‘diserang’ oleh netizen.

Berita berkaitan

Akibat celupar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 3:35 PM