KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Rizanizam Abdul Hamid


PEMILIHAN Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang akan merangka cadangan bagi menstruktur semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah tepat dalam memastikan parti itu kembali bersatu di bawah satu landasan yang baharu.

Pemuda UMNO Setiawangsa Fadzmel Fadzil berkata, langkah itu juga sekaligus menepati kehendak semasa rakyat negara ini khususnya golongan belia yang mahukan kesegaran dalam perjuangan parti.

Menurutnya, bagaimanapun pada masa yang sama beliau percaya elemen-elemen baik dari tradisi turun temurun di dalam parti akan tetap dipertahankan walaupun cara yang dipraktikan dahulu ada kalanya tidak relevan kini dan perlukan penambahbaikan.

"Walaupun tempoh yang diberikan adalah dilihat singkat untuk merangka perubahan berbanding tempoh kewujudan UMNO secara keseluruhannya, namun saya percaya ia adalah titik permulaan yang baik.

"Ini adalah untuk memastikan arus perubahan dalaman menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar di masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Presiden UMNO mengumumkan BN dan UMNO memberi mandat kepada Khairy untuk merangka cadangan bagi menstruktur semula parti.

Ahmad Zahid memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Mengulas lanjut Fadzmel berkata, perubahan itu juga akan dapat membantu UMNO dan BN lebih progresif, inklusif dan pada masa yang sama mengekalkan kesederhanaan dalam perjuangan untuk kekal relevan di mata masyarakat.

Jelasnya, dengan tugasan yang diberikan kepada Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau itu, ia akan menjadi ruang dan peluang yang terbaik untuk UMNO mengubah sistem sedia-ada setelah gelombang kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih dirasai rata-rata pejuang UMNO serta seluruh komponen BN perlu beri kerjasama kepada Khairy serta menggunakan peluang ini untuk muhasabah diri, berbincang dan merangka langkah baharu.

"Ini sangat penting dalam kita menelusuri sebuah perjuangan baharu yang segar dan efektif dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 5:54 PM