EMPAT pusingan perlumbaan sebelum ini, segala SOP dipatuhi. FOTO Ihsan Petronas Cub Prix
EMPAT pusingan perlumbaan sebelum ini, segala SOP dipatuhi. FOTO Ihsan Petronas Cub Prix
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Barisan pelumba Cub Prix negara memohon simpati daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan perlumbaan itu berlangsung semula.

Tegas seorang pelumba yang terbabit, Affendi Rosli, sebahagian besar pelumba permotoran negara kini berdepan masalah kewangan selepas tidak dibenarkan berlumba kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kata Affendi, ramai pelumba Cub Prix kini kesempitan duit hingga terpaksa menjadi penghantar makanan, bekerja sebagai pencuci kereta dan ada yang terpaksa bergolok-gadai berikutan tiada gaji kerana tiada perlumbaan.

"Kami pelumba Cub Prix perlu berlumba kerana inilah kerja kami. Bila perlumbaan ditunda kebanyakan penaja tidak memberikan tajaan kerana mereka juga bergantung kepada perlumbaan.

"Kami tidak boleh bekerja dari rumah. Kalau mekanik yang buat segala pelarasan jentera motosikal di rumah pun ia tetap perlu diuji di atas litar.

"Macam mana kami nak dapat gaji kalau kerajaan tidak membenarkan kami berlumba. Tidak berlumba maka kami tak dapatlah gaji," katanya.

Difahamkan, pelumba Cub Prix memperoleh pendapatan antara RM10,000 hingga RM30,000 semusim bergantung kepada status, prestasi dan pasukan.

Jelas Affendi yang pernah bergelar juara pada 2009 dan berlumba bersama Harian Metro Y-TEQ SCK, kebanyakan pelumba Cub Prix negara kini amat terkesan apabila kerajaan tidak membenarkan perlumbaan berlangsung.

Katanya, pada empat pusingan perlumbaan sebelum ini, segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan teliti, malah tiada sebarang penonton dibenarkan untuk menyaksikan perlumbaan.

Kawalan ketat juga diadakan dengan setiap pasukan akan melakukan ujian calitan terhadap semua pelumba yang terbabit sebelum dibenarkan memasuki kawasan perlumbaan.

Terdahulu Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas ditunda bermula pusingan kelima yang sepatutnya berlangsung di Litar Utara Sepang dari 10 dan 11 Oktober lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Pusingan keenam yang sepatutnya berlangsung dari 31 Oktober dan 1 November dan 21 dan 22 November di Litar Sepang juga turut ditunda susulan langkah kerajaan melanjutkan PKPB.

Manakala status baki pusingan terakhir iaitu di Tangkak pada 12 hingga 13 Disember kini masih lagi menjadi persoalan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:00 AM