Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Seremban: Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini semalam, kecoh apabila semua pembangkang keluar dewan.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan memohon untuk membawa usul supaya kerajaan negeri menyatakan pendirian terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau selaku ketua pembangkang membuat permohonan itu sebaik selesai sesi pertanyaan lisan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Omar menolak usul itu dengan mengatakan isu itu sudah diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Namun pihak pembangkang masih tidak berpuas hati dan tetap mahu usul itu dibahaskan menyebabkan 16 ADUN Barisan Nasional (BN) keluar dewan jam 12 tengah hari.

Persidangan diteruskan dengan Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2019.

MOHAMAD (tengah)   bersama  ADUN pembangkang  keluar daripada sidang dewan, semalam.
MOHAMAD (tengah) bersama ADUN pembangkang keluar daripada sidang dewan, semalam.

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui di luar dewan menyatakan perasaan kecewa kerana hasratnya untuk membahaskan isu nasional tidak dibenarkan.

Katanya, beliau hanya mahu kerajaan negeri menyatakan pendirian mengenai ICERD dengan berbahas di dalam dewan.

“Biarlah kita berbahas mengenai isu ini. Dewan ini tempat berbahas, beri pandangan dan bertukar fikiran. Setuju atau tidak tidak mengapa asalkan ia direkod,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 1:31 PM